Pelancaran Program i-Think Print
Written by Noorman   
Saturday, 22 February 2014 09:11

Pada 10 Februari 2014, Jawatankuasa Program i-Think telah melaksanakan Pelancaran Minggu i-Think bertempat di Dataran Perhimpunan SMK Bandar Tun Hussein Onn 2

 


bermula pada jam 7.30 pagi. Pelancaran ini telah dirasmikan oleh Puan Sri Datin Mazlilah Ahmad Mansur, pengetua SMK BTHO2. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk membugarkan minda warga SMK BTHO2 tentang fungsi peta minda i-Think ke arah membudayakan kemahiran berfikir khususnya Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Puan Sri Datin Mazlilah dalam ucapannya menyeru agar warga SMK BTHO2 termasuk para guru dan pelajar mengaplikasikan peta i-Think dan KBAT dalam PdP masing-masing di bilik darjah untuk melahirkan generasi berminda kelas pertama. Pelancaran program ini lebih menjurus kepada pembugaran i-Think kerana pelancaran seumpama ini julung kalinya telah disempurnakan pada tahun 2013. Oleh hal yang demikian, pelancaran program ini telah dimulakan dengan perarakan lapan jenis peta i-Think yang dibawa oleh 16 orang pelajar. Upacara diteruskan dengan nyanyian lagu i-Think oleh Muhammad Syafuan Muhd Iszar (4 Lambda), Anas Abdul Samad (4 Sigma) dan Muhammad Riyad Haikal Roslan (4 Delta) dengan tajuk lagu 'I Won't Give Up On i-Think. Pelancaran ini diserikan dengan pemotongan riben dan menandatangani bunting i-Think oleh Puan Sri Datin Mazlilah Ahmad Mansur tanda perasmian Program Pelancaran i-Think. Pihak Jawatankuasa i-Think merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Puan Sri Datin Mazlilah, guru-guru dan pelajar-pelajar yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Posted from my iPhone using Joomla Admin Mobile!

 

Last Updated on Saturday, 22 February 2014 10:06